Ahad, 30 Ogos 2009

GAPENA BANTAH HAPUS IDENTITI BANGSA, KAUM DAN AGAMA

Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) menuntut kerajaan supaya tidak menghapuskan identiti bangsa, kaum dan agama dalam sebarang borang rasmi kerajaan seperti dicadangkan pihak tertentu sebelum ini.

"Kita tidak mahu perkara ini berlaku. Jika dihapuskan identiti, maka seluruh perjuangan untuk mengangkat status bumiputera akan terhapus atau tidak diberi penegasan," kata Ketua Satu Gapena, Tan Sri Prof Emeritus Ismail Hussein.

Tuntutan itu terkandung dalam Deklarasi Inderapura Pahang Darul Makmur yang dikeluarkan sempena Seminar Kenegaraan dan Jati Diri Melayu 2009 hari ini, lapor Bernama.

Prof Ismail berkata, pihaknya akan menyembahkan deklarasi itu kepada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan juga Raja-raja Melayu yang lain dalam masa terdekat.

Deklarasi itu juga mendesak kerajaan supaya memansuhkan segera Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), sebelum bermula sesi persekolahan Januari tahun depan.

Beliau berkata, pemansuhan PPSMI yang sebelum ini diputuskan pada 2012, seharusnya dibuat serta merta dengan Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya dan bukan lagi secara dwibahasa.

Katanya tindakan tersebut adalah wajar dan boleh dilaksanakan memandangkan keputusan pelaksanaan PPSMI enam tahun lepas mampu dibuat serta merta.

"Dulu masa kerajaan mahu tetapkan PPSMI, boleh dibuat sekelip mata tetapi mengapa nak memansuhkannya tidak boleh pula, kenapa mesti tunggu sehingga 2012," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kandungan deklarasi tersebut.

Beliau berkata tindakan pemansuhan segera itu dilihat boleh menyelamatkan pelajar yang mungkin gagal dalam peperiksaan disebabkan kelemahan mereka menguasai Bahasa Inggeris.

Ismail berkata kandungan lain deklarasi itu ialah Gapena meminta kerajaan menyediakan peruntukan besar bagi menampung kos pasarana pengajaran dan pembelajaran, elaun guru, menambah guru pakar, penterjemahan dan penerbitan buku serta penambahan peralatan multimedia.

"Kita juga mahukan Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di semua fakulti peringkat pengajian tinggi awam dan swasta seperti mana sebelum tahun 2003," kata beliau.

Bagi membina jati diri bangsa, beliau berkata Gapena mencadangkan mata pelajaran Sastera dan sejarah kebangsaan negara dijadikan mata pelajaran wajib bagi semua peringkat pengajian dan aliran.- Malaysiakini

Khamis, 11 Jun 2009

TAMAN YANG KEMARAU

Kemarau ini tetap mengundang gersang
sebuah ujana kian layu wanginya
sedang telah sedekad dijaga dibaja.

Ternyata matahari tetap mencarang
terus memanah bahang kecewa
tanpa terdaya dibina perisai pengertian
dan atap tegap tangguh pun bocor akhirnya
lalu hijau setia menjadi kuning prasangka.

Ujana yang dibina
cinta padamu masih bersisa
demi bunga-bunga yang disemai bersama
harus disirami dengan air kasih sayang
harus dibeladidik bertatih sendiri
supaya mampu mekar bertunas.

Jika kemarau ini masih berpanjangan
dan bahang kecewa masih membara
cuma kuminta
selamatkan dulu bunga-bunga itu
agar ia dapat bernafas bahagia
mekar di persada maknawi.

Julai 1997

TENANG

Didiklah diri
bagaimana menyimpan resah
ke sarang tenang.

Didiklah diri
bagaimana mengukir pahit
menjadi senyum dewangga.

Didiklah diri
bagaimana memamah marah
menjadi tali kasih.

Jadi didiklah diri
menjadi tahu
menambat tali kasih
dengan senyuman manis
agar tenangmu
tak bebas lepas.


Cityvine, Sibu
10.5.04

Sabtu, 30 Mei 2009

KITA DI ANTARA PULAU DAN TANJUNG

Sebenarnya belum lama kita menganyam kata-kata
tentang erti sebuah persahabatan
tentang erti sebuah keakraban
pada sebuah pertemuan
tapi aku menjadi terlalu memendam rasa
betapa perkenalan muda tertancap erat ke jantung

lalu menjalarkan bunga puisi bertangkaikan rindu
bergayutan di dahan rasa halus yang sukar
dimengerti

Dalam diam lahir segumpal rasa
berbibit di lubuk hati
berdetik minta dibelai – mesra
berdenyut minta didakap – manja
yang telah lama ketandusan wirama cinta

Pun begitu bukan kutagih irama kasih
darimu yang baru tahu erti mahalnya rindu
kerana hak menawar di tangan kananmu
dan hak membeli di tangan dirimu

aku juga bukan sesat dalam diri
kerana nalarku malar menjalar
ketika menyelisir sungai impian ini
kerana selamanya kusedar ada jeram

yang sedia menanti
kerana selamanya kusedar ada liku
yang perlu dilalui
dan aku pastinya tak mampu mendustai diri.

Namun di antara impian ini
ada jarak yang sukar dirapat

ada lautan luas pemisah antaranya
kerana aku di tanjung rancang
kau di pulau berbalam


Piee Ling

Khamis, 5 Mac 2009

PERHIMPUNAN 100K


Ugak Belian

ISTANA SETUJU TERIMA MEMO PPSMI

Istana Negara memberikan reaksi positif bagi menerima memorandum membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sabtu ini.

Persetujuan istana itu dianggap "kemenangan pertama" aktivis bahasa dan sastera dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang menganjurkan perhimpunan besar ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.

anti english language in math and science ppsmi gmp parliament march 170209 04Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad berkata istana tidak melarang majlis penyerahan memorandum tersebut.

Beliau dimaklumkan Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak berada di istana pada masa yang dijadualkan dan memorandum tersebut akan diserahkan kepada seorang pegawai bagi pihak baginda.

Dr Hassan menambah, satu salinan memorandum tersebut telah disampaikan kepada istana melalui setiausaha sulit kanan Yang di-Pertuan Agong semalam.

Memorandum lapan halaman itu diserahkan awal, tambahnya, sebagai makluman kehadiran mereka di istana, petang 7 Mac ini.

GMP merancang berhimpun di tiga tempat di ibu negara – kompleks membeli-belah Sogo, Pasar Seni dan Masjid Negara – sebelum berarak beramai-ramai ke Istana Negara pada jam 2 petang.

Mereka merancang berarak dalam pakaian putih sebagai lambang pembersihan PPSMI, tanpa sebarang logo, bendera dan simbol parti-parti politik walaupun GMP turut disertai PAS dan PKR.

gmp protest 310108 photo sessionSelain Dr Hassan, Sasterawan Negara A Samad Said dan pemimpin pembangkang termasuk penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadual hadir.

Menjelang perhimpunan besar itu, GMP akan menghabiskan empat programnya di seluruh negara sebelum ceramah akhir di Markaz Tarbiah PAS di Taman Melewar, Gombak pada Jumaat ini.

Malam ini, satu forum isu PPSMI akan berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Selain Dr Hassan, ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan ahli parlimen BN Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman turut membahaskan isu ini.

Ditanya tindakan lanjut GMP jika kerajaan tetap enggan melayan tuntutan mereka, Dr Hassan berkata gabungan itu akan terus memperjuangkan pemansuhan dasar kontroversi itu sehingga berjaya.

"Tidak ada tempoh tamat. Kita akan terus berjuang sehingga kembali kepada dasar asal (sebelum diperkenalkan PPSMI pada 2003)," katanya.

Sementara itu, Setiausaha GMP Hasni Abas berkata 1,000 anggota Unit Amal PAS dikerahkan bagi mengawal keadaan dan lalulintas supaya perhimpunan itu terkawal dan aman.

Pada mulanya, kata Hasni, GMP telah menghantar permohonan untuk mendapatkan permit berhimpun ke ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, katanya, mereka dinasihatkan supaya mengemukakan permohonan itu kepada di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Pada 17 Februari lalu, seramai 20 aktivis bahasa dan sastera GMP berarak ke Parlimen dari Tugu Negara bagi menyerahkan memorandum membantah PPSMI kepada ahli-ahli parlimen, termasuk Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
.
Manakala pada 31 Januari pula, tokoh-tokoh utama GMP buat pertama kali turun ke jalanraya sempena pelancaran kempennya di pusat membeli-belah Sogo.

Mereka juga menabur 50,000 risalah mengenai kempen menentang dasar itu ketika pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari lepas.

Ugak Belian