Sabtu, 30 Mei 2009

KITA DI ANTARA PULAU DAN TANJUNG

Sebenarnya belum lama kita menganyam kata-kata
tentang erti sebuah persahabatan
tentang erti sebuah keakraban
pada sebuah pertemuan
tapi aku menjadi terlalu memendam rasa
betapa perkenalan muda tertancap erat ke jantung

lalu menjalarkan bunga puisi bertangkaikan rindu
bergayutan di dahan rasa halus yang sukar
dimengerti

Dalam diam lahir segumpal rasa
berbibit di lubuk hati
berdetik minta dibelai – mesra
berdenyut minta didakap – manja
yang telah lama ketandusan wirama cinta

Pun begitu bukan kutagih irama kasih
darimu yang baru tahu erti mahalnya rindu
kerana hak menawar di tangan kananmu
dan hak membeli di tangan dirimu

aku juga bukan sesat dalam diri
kerana nalarku malar menjalar
ketika menyelisir sungai impian ini
kerana selamanya kusedar ada jeram

yang sedia menanti
kerana selamanya kusedar ada liku
yang perlu dilalui
dan aku pastinya tak mampu mendustai diri.

Namun di antara impian ini
ada jarak yang sukar dirapat

ada lautan luas pemisah antaranya
kerana aku di tanjung rancang
kau di pulau berbalam


Piee Ling