Khamis, 26 Jun 2008

SIAPA JOHAN JAAFAR?

A Ghafar Osman

Membaca tulisan Johan Jaaffar (JJ) dalam ruangannya di Berita Minggu 22 Jun 2008 yang bercakap tentang moral dan etika penulis-penulis siber, satu perkara yang patut beliau fikirkan ialah adakah dia layak bercakap tentang moral dan etika.

Melihat kembali tentang sikap JJ memperolok dan mempermain-mainkan arahan daripada PM, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Menteri Pelajaran bagi menyambung atau melantik semula Dato Dr. Firdaus Abdullah sebagai Ketua Pengarah DBP (harakahdaily.net siaran 20 Jun 2008) jelas memperlihatkan yang JJ tidak beretika.

JJ barangkali boleh memperolokkan Dato' Dr Firdaus Abdullah. Mungkin JJ merasakan dirinya hebat jika dibandingkan dengan Firdaus tetapi untuk memperolokkan PM, Menteri Pelajaran dan sekalian ahli Lembaga Pengelola DBP sangat "keterlaluan dan biadab".

Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishammuddin Hussein mungkin tidak mendapat gambaran sebenar apa yang berlaku kerana mendapat maklumat palsu daripada JJ dan tali barutnya, sehingga boleh dianggap JJ cuba melaga-lagakan Menteri Pelajaran dengan PM. Ini semua untuk kepentingan dirinya sendiri. Apa muslihat JJ?

Menurut beberapa orang ahli Lembaga Pengelola DBP, mereka hanya mendapat tahu tentang arahan PM pada hari Jumaat 30 Mei 2008 melalui e-mel dari Bahagaian Dasar. Sedangkan menurut maklumat dari Bahagian Dasar juga arahan PM itu telah sampai ke DBP dari Kementerian Pelajaran melalui faksimili pada 26 Mei 2008, sebelum mesyuarat Lembaga Penuh bermula.

Mengapa JJ menyembunyikannya? Mengapa dia tidak bentangkan dalam mesyuarat Lembaga? Adakah dia takut Lembaga akan akur dengan arahan PM itu jika surat arahan itu didedahkan, dan akan gagal segala perancangan jahatnya?

Jika ini benar, nyatalah Lembaga Pengelola DBP juga diperbodohkan oleh JJ. Maka wajarlah dia disingkirkan melalui usul tidak percaya oleh semua ahli Lembaga. Jika tidak kewibawaan Lembaga sendiri tercemar.

Dan jelas selain mempermainkan arahan PM kepada Menteri Pelajaran JJ juga telah mempermainkan surat daripada Kementerian Pelajaran yang mengarahkan peroses pelantikan atau penyambungan Firdaus sebagai ketua Pengarah DBP.

Masihkah JJ ingin bercakap tentang moral dan etika?

Barangkali JJ beranggapan bahawa dia boleh "membeli masa" melengah-lengahkan arahan PM dengan andaian bahawa Abdullah akan hilang kuasa bila-bila masa. Jika itu berlaku bolehlah arahan itu diabaikan.

Andaiannya juga barangkali Dato' Seri Najib Tun Razak akan mengambil alih kuasa dan JJ bolehlah pula kong-kalikong dengan Najib. Tetapi Najib tidak mungkin akan lupa fitnah JJ terhadapnya dengan isu Port Dickson semasa dia jadi Ketua Pengarang Utusan Melayu dulu.

Atau mungkin JJ berharap Dato' Seri Anwar Ibrahim akan berkuasa? Dengan ingatan Anwar akan masih sudi menyelamatkannya lagi seperti mana dia diselamatkan oleh Anwar dari DBP dulu?

Inilah JJ. Orang yang gah bercakap soal moral dan etika sedangkan moral dan etikanya sendiri boleh dipertikaikan. Semasa Anwar berkuasa dia menyembah Anwar. Apabila Anwar tumbang dia menyembah Mahathir. Apabila Mahathir tidak lagi berkuasa, dia menyembah Hishamuddin. Sekarang Hishamuddin pula diperbodoh-bodohkan.

Sebelum memperolok arahan PM dan Menteri Pelajaran, JJ sebelum ini dengan angkuhnya telah memperolok Akta DBP yang diluluskan oleh Parlimen yang berkaitan dengan dasar dan tatacara Lembaga Pengelola DBP.

Berhubung dengan urus tadbir DBP JJ bukan sahaja tidak menghormati tatacara dan peraturan tetapi bertindak seolah-olah dia adalah Pengerusi Eksekutif DBP.

Mungkin Menteri di Jabatan PM Dato' Zaid Ibrahim boleh memberi nasihat tentang bidang kuasanya kerana JJ dan para konco-konconya mengatakan JJ mempunyai kuasa mutlak, contohnya dalam isu pelantikan Timbalan Ketua Pengarah DBP.

Apabila tingkah laku JJ dalam isu ini mendapat bantahan daripada Kesatuan Pekerja-pekerja DBP sehingga berlaku piket, JJ mengunakan kuasanya dengan meminta Timbalan dan Pengarah Bahagian Gaji dan Elaun JPA mengeluarkan surat kepada Kesatuan supaya menghalang staf gred 41 ke atas daripada menjadi ahli Kesatuan.

Selain itu, dalam cubaannya untuk mengharamkan Kesatuan mereka juga menubuhkan MBJ yang baru. Sedangkan arahan tersebut bertentangan dengan pekeliling JPA Biilangan 2 1992.

Dalam usahanya untuk melumpuhkan Kesatuan, JJ dan konco-konconya mengarahkan Pengurus Kewangan dan Bekalan DBP supaya memberhentikan pemotongan gaji ahli Kesatuan untuk tujuan pembayaran yuran bulanan. Atas kuasa siapa tindakan ini diambil oleh Pengurus Kewangan itu?

Akhirnya segala tindakan JJ dan konco-konconya terbongkar juga apabila Pengurus Kewangan sendiri mengaku bahawa beliau ditekan untuk mengambil tindakan tersebut.

Sudah menjadi rahsia umum isu penswastaan penerbitan DBP membawa DBP melalui zaman kegelapan. DBP berada dalam kerugian. Apa tindakan JJ? Mereka yang terlibat dalam membuat perjanjian konsesi ini ialah "para pengampu" JJ. Kerana itulah maka JJ tidak berbuat apa-apa supaya mereka tidak kelihatan bersalah.

Harus diingat, pada 29 April 2008 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati JJ, Utusan Melayu dan Mingguan Malaysia bersalah melakukan fitnah terhadap Dr Fatimah Busu dan dihukum oleh mahkamah membayar ganti rugi RM200,000.

Dengan kelakuan yang tersebut di atas, masih layakkah JJ bercakap tentang moral dan etika? Jika JJ mempunyai moral dan etika dia sepatutnya malu dengan kelakuan dan perangainya yang "menjahanamkan" DBP. Dia sepatutnya telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga DBP. - HARAKAH